Rupanya Aku Belum Solat

Oleh : MuhammadNadzri

Peristiwa hari Selasa bertarikh 10 Disember 2013, cuaca pada hari ini memang sangat sejuk. Maklumlah, hujan sejak dari pagi, kemudian melarat sampai ke petang, angkaranya habis banjir kebanyakan kawasan di Medan, termasuklah di dalam kampus kolej kami. Habis kuliah pada jam 2.30 petang, maka masing-masing sanggup meredah jalan utama yang banjir, dek kerana tidak tahan lagi menunggu lama, sudah berjam-jam kami terperap menunggu hujan reda, namun kecewa.

Mujur pada hari ini, aku mengambil keputusan untuk pulang awal ke rumah sewa, meninggalkan kawan-kawan lain di kampus. Aku sempat pulang sewaktu hujan sedikit reda, jadi aku tidaklah terlalu basah, tapi terkena juga mengharungi banjir yang cetek. Boleh dikatakan semasa itu air baru hendak naik. Hampir satu jam juga aku di dalam angkot, kerana jalannya yang begitu sesak dengan kenderaan keluar masuk. Sampai di rumah, hujan mulai turun dengan lebat semula.

Beberapa jam kemudian, kawan-kawan aku pun pulang ke rumah, dalam keadaan yang basah kuyup dan keletihan. Sudah berejam mereka terperangkap di atas jalan, kabarnya banjir sudah mencecah paras lutut.

Petang itu, hujan masih turun, tapi sudah sedikit perlahan rentaknya. Kami semua masing-masing di dalam bilik, terbaring dan berehat-rehat, semuanya keletihan dan sejuk sejak bermandi hujan lebat pada petang tadi. Aku keluar memeriksa motor, khuatir kalau-kalau termasuk air ke dalam enjin sewaktu meredah banjir untuk pulang ke rumah sewa. Pada masa itulah, azan mulai berkumandang, menandakan telah masuk waktu asar di kawasan Medan.

Aku berniat ingin ke masjid, namun kerana hujan yang sedikit, aku batalkan. Lalu, aku masuk ke dalam rumah, cadangnya hari ini aku solat di rumah sahaja. Sebaik masuk ke dalam bilik untuk menyalin pakaian, aku duduk sebentar di hadapan laptop, sambil-sambil berborak dengan sahabat sebilik.

Selang beberapa ketika, aku mendengar kawanku menjerit dari bilik hadapan.

"Maling!! Maling!!"

Aku terkejut, dan terus meluru keluar dari bilik, terus terlihat kawanku tanpa berselipar berada di luar rumah. Rumah kami dimasuki pencuri!

Tercengang, kawanku membongkok mengambil sebiji laptop dan telefon bimbit dari atas jalan, mujur dua pencuri tersebut melepaskan barang tersebut, kemudian lari menaiki motosikal. Jiran yang melulu keluar turut tercengang melihat kami, sejurus selepas mendengar bunyi jeritan dari kawanku sebentar tadi.

Jiran-jiran turut memahami situasi tadi, mereka turut berpesan supaya kami tidak lepa dan leka pada waktu akan datang. Selesai semuanya, kami pun masuk semula ke dalam rumah, sambil-sambil duduk, kawan aku memeriksa jika ada apa-apa yang sempat diambil oleh dua pencuri tadi. Kami beruntung, kerana tiada apa-apa yang hilang, mungkin kerana jeritan tadi, pencuri tersebut terkejut lalu melepaskan barang-barang tadi.

Pelik, sepangjang hampir satu setengah tahun, tidak sekalipun rumah kami pernah menghadapi keadaan seumpama ini. Masing-masing berada dalam keadaan tergamam dan tersedar, kami duduk sambil mengenangkan kejadian yang berlaku tadi.

"Tak pernah rumah kita dimasuki orang macam ni, terang-terangan pula tu," kata sahabat yang menjerit tadi

"Kau tak sedar ke dia masuk tadi? Macam mana dia boleh masuk sedangkan kau dalam bilik juga tadi?"

"Sambil-sambil aku baring dengar radio dari telefon aku, mata pun makin mengantuk. Aku baru nak terlelap, nasib baik tidur-tidur ayam. Tiba-tiba, aku perasan radio yang aku pasang ke speaker tu tertutup. Aku paling ke pintu, terus aku nampak ada seorang badan besar, lari keluar. Aku bangun keluar, terus nampak seorang lagi sedang tunggu atas motor, dalam hujan. Aku pun jeritlah lah."

"Itu lah, kan jiran pun sudah mengingatkan. Walau macam mana keadaan sekalipun, jangan biar pintu ternganga terbuka."

"Benda dah jadi, lain kali semua kena beringat."

Sedang sibuk-sibuk berborak, aku terpandang jam.

"Eh, lagi setengah jam hendak masuk Maghrib. MasyaAllah, aku belum solat Asar lagi!"

"Aku pun belum lagi lah!"

Lalu, tahulah kami, mungkin ini peringatan dari Allah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak