Besan dalam Bahasa Inggeris, apa ya?


Oleh : MuhammadNadzri



Percayakah anda apabila dikatakan bahawa kosa kata bahasa Inggeris tidak selengkap yang kita sangka?


Semester ini, saya banyak mengambil mata kuliah modul, sebagai persiapan untuk melangkah ke semester terakhir sepanjang menuntut di Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara (IAIN SU).

Semasa sedang mengerjakan tugasan terjemahan Indonesia - Inggeris untuk kuliah Hukum Mediasi, saya sampai kepada ayat berikut :
  
"Terdapat beberapa golongan yang layak mendapat penghargaan khusus sedemikian, iaitu bapa saudara, para tetamu, besan, dan orang-orang kampung yang berkunjung."


Saya terhenti pada perkataan besan. Cuba mencari-cari, rasanya belum pernah lagi saya mendengar istilah khusus 'besan' dalam bahasa Inggeris. Lalu, jalan pertama, semestinya "Tanya Kepada Encik Google" (sudah menjadi kebiasaan student sekarang akan rujuk Google dahulu bukan? :P). Sayang, menghampakan.



Jalan kedua, buka pula Kamus Lengkap Indonesia-Inggris susunan Alan M. Stevens dan A. Ed. Schmidgall-Tellings, terbitan Mizan. Pada perkataan ‘besan’ tertulis : People whose children are married to each other (orang-orang yang anak-anak-anaknya menikah satu sama lain).

Hairan ya, takkanlah perkataan sepenting itu tidak tersedia dalam bahasa nombor satu di dunia? Adakah 'besan' tidak dianggap penting di kalangan penutur Inggeris, sehinggakan mereka tidak perlu susah-susah untuk mencipta istilah khusus untuk itu. Contohnya dalam kehidupan sehari-hari, kata-kata "John itu besan saya" diucapkan dengan "John is my son's father-in-law" (John itu mertua anak saya). Tak tahulah pula kalau-kalau ada bahasa lain yang mempunyai kesamaan ini.

Rupanya, saya semakin hairan apabila melihat kepada kata-kata perhubungan lain yang tidak tersedia secara etimologis atau khusus di dalam Bahasa Inggeris seperti ibu mertua (mother-in-law), bapa mertua (father-in-law), anak menantu perempuan (daughter-in-law), anak menantu lelaki (father-in-law), kakak/adik ipar perempuan (sister-in-law), dan abang/adik ipar lelaki (brother-in-law). Golongan yang disebut "in-law" ini adalah mereka yang menjadi ahli kerabat kerana ikatan perkawinan. Perkataan "in-law" jika diterjemah secara perkata bermaksud "dalam undang-undang".

Agak menyulitkan apabila seseorang menggunakan kalimat besan di dalam sesetengah perbualan, seperti :

"Perkembangan bisnes alatan komputer menantu saya sangat tergantung kepada bantuan kewangan daripada besan saya"
(My daughter-in-law’s computer hardware business development is highly dependent on my son’s father-in-law’s financial assistance)

Eddy Roesdiono, seorang pensyarah bahasa Inggeris di sebuah universiti Indonesia memberi pendapat, sungguh menghairankan bahawa sepanjang pengembangan budaya dan bahasa Inggeris, bangsa ini tidak mampu menghadirkan satu patah kata untuk menyebut ‘besan’? Kenapa pula dalam bahasa Inggeris banyak hal yang sama tapi diucapkan berbeza dan berulang, seperti come/arrive (datang), big/large (besar), child/kid (anak-anak), spectacles/glasses (kacamata), quick/fast/swift (cepat), yang menunjukkan bahawa bahasa Inggeris itu sebenarnya suatu bahasa yang kreatif?

Beliau menduga bahawa bahasa-bahasa Eropah sememangnya tidak memiliki kata-kata khusus untuk menyebutkan anggota-anggota keluarga yang terikat berdasarkan perkahwinan. Ini menunjukkan kurang pentingnya erti kekerabatan di kalangan mereka disebabkan perkawinan, contohnya dapat dilihat pada penambahan ‘in-law’ seperti di atas. Ini sangat aneh kerana kosa kata untuk anggota-anggota keluarga lain yang tak kalah pentingnya juga turut tersedia, seperti uncle (bapa saudara/pak cik), aunt (emak saudara/mak cik), cousin (sepupu), niece (anak saudara perempuan), nephew (anak saudara lelaki), grandfather (datuk), great grand-father (moyang), great great grand-father (tok ayah), dan kata sebutan khusus untuk para tiri seperti step-mother (ibu tiri), step-father (ayah tiri), step-brother (abang tiri), step-sister (kakak tiri), step-son (anak lelaki tiri), step-daughter (anak perempuan tiri) dan kata-kata untuk ayah kandung (biological father), ibu kandung (biological mother), atau orang tua asuh (foster parents).

Mungkin masih ada lagi kata-kata lain (selain dari golongan anggota keluarga) yang tersedia secara ‘ribet’ seperti para "in-laws" tersebut di atas? Namun pada titik ini, saya merasa lebih bangga mempunyai bahasa tersendiri yang mengadaptasikan istilah-istilah penting seumpama ini dalam kehidupan dan budaya sehari-hari.

Bahasa Melambangkan Bangsa!

Ulasan

  1. Found this article when searching for besan translation as well...

    BalasPadam

Catat Ulasan

Kereta rosak panggil pomen,
Sudah baca harap komen. XD

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak