Fiqh Dalam Membasuh Baju

“Sudah sampai masanya bagi aku melakukan kerja rumah,” bisik Uzma sambil memandang jam di atas meja kecil di sudut biliknya. Dia bergegas memakai tudung dan keluar dari biliknya.

Uzma memungut pakaian majikan dan anak-anak majikannya di bilik tidur mereka masing-masing. Hari ini adalah hari kedua dia bekerja di rumah Puan Khairuna. Sebelum ini dia bekerja di kantin sekolah sebagai pembantu.


Bakul berisi pakaian majikan dan anak-anak majikannya dibawa ke bilik membasuh pakaian. Sehelai demi sehelai dimasukkan ke dalam mesin basuh. Kemudian dia membuka pili yang sudah dipasangkan getah paip, dan bersambung dengan mesin basuh. Air mencurah-curah masuk ke dalam mesin basuh. Sementara menunggu air penuh, dia menyediakan sarapan pagi.

“Awak sudah cuci pakaian, Uzma?” Puan Khairuna yang sudah siap berpakaian kerja menyapa pembantu rumahnya yang sedang leka membancuh minuman panas.

Uzma menoleh memandang majikannya sambil tersenyum manis. “Pakaian kotor saya sudah masukkan ke dalam mesin basuh, puan. Tetapi belum dicuci lagi. Air masih belum penuh.”

“Awak asingkan pakaian orang dewasa dengan pakaian anak kecil?” Puan Khairuna mencapai sudip dan mengacau mee goreng di dalam kuali. Dia tidak pernah membiarkan pembantu rumahnya melakukan kerja sendirian. Sekiranya dia mempunyai masa terluang, dia pasti akan melakukan kerja rumah bersama-sama.

“Ti... tidak, puan. Mengapa, puan?”

Puan Khairuna terkesima mendengar pengakuan pembantu rumahnya. “Pakaian anak kecil biasanya bernajis. Pakaian yang terkena najis tidak boleh dicampur bersama pakaian yang tidak terkena najis. Tetapi jika pakaian anak saya tidak bernajis tidak mengapa.”

“Lega hati saya. Pakaian anak-anak puan memang tidak ada najis.” Uzma mengurut dadanya. Andai salah cara dia mencuci, pastilah dia perlu mengambil semula pakaian yang sudah dicuci semalam dan mencucinya sekali lagi. Pasti sukar kerjanya. Kerana pakaian yang dicucinya semalam sudah bercampur aduk dengan pakaian yang bersih di dalam almari.

“Assalamualaikum.” Afdal, anak lelaki sulung Puan Khairuna tersenyum memandang umminya dan Uzma.

Kedua-dua wanita itu menyambut salam Afdal dengan ceria.

“Rancaknya berbual. Apa yang ummi bualkan?” Afdal bertanya sambil duduk di kerusi.

“Ummi bertanya Uzma, bagaimana caranya dia membasuh pakaian. Kamu pun patut ambil tahu.” Balas Puan Khairuna.

“Saya bukan hendak jadi pembantu rumah, ummi.”

“Kamu fikir pembantu rumah sahaja yang perlu belajar cara mencuci pakaian? Kamu ahli keluarga ini, andai tiada pembantu rumah, kamulah yang ummi akan kerah cuci pakaian keluarga kita.”

Uzma ketawa kecil. Afdal tersengih malu-malu.

“Ummi pernah lihat orang masukkan pakaian sehingga terlalu padat dalam mesin basuh. Jangan buat macam itu. Mesin cepat rosak, pakaian belum pasti bersihnya.” Nasihat Puan Khairuna sambil tangannya cekap membalik-balikkan mee goreng di dalam kuali.

“Ada dua cara menyucikan pakaian kita apabila menggunakan mesin basuh. Cara pertama, mesin pakaian kita sama ada yang bersih atau yang bernajis bersama. Tetapi perlu ingat, najis itu bukan najis yang nampak seperti tahi atau muntah. Sekiranya najis yang dapat dilihat, kita perlu buangkan najisnya terlebih dahulu. Takkan seketul tahi kamu sanggup campurkan dalam mesin basuh bersama pakaian lain yang bersih, kan? Selepas buangkan najisnya, sama ada bau dan warna najis masih ada ataupun tidak, masukkan sahaja ke dalam mesin basuh.” Puan Khairuna diam seketika sambil melihat reaksi anaknya yang kelihatan geli-geleman membayangkan pakaian yang dibasuh bersama najis. Beberapa detik kemudian dia menyambung lagi,

“Semasa bilas, kita perlu membilasnya dengan tangan bukan dengan mesin. Sebab pakaian kita sudah bercampur dengan pakaian yang ada najis. Jadi, perlu cuci dengan air yang mengalir. Seperti air pili, air sungai dan sebagainya. Kemudian barulah kita spin dan sidai.”

“Oh, begitu ya.” Afdal berkata sambil menyusun piring, cawan dan teko di dalam satu dulang lalu diletakkan di atas meja.

“Cara kedua?”

“Cara kedua, pastikan pakaian suci daripada najis sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh bersama pakaian lain yang tidak ada najis. Sekiranya ada najis buangkan terlebih dahulu kemudian cuci sehingga hilang ainnya (bau, warna, rasa) dengan air suci yang mengalir. Setelah itu baru boleh dimasukkan ke dalam mesin dan basuh bersama pakaian lain yang tidak ada najis.”

“Apa kelebihan cara kedua, ummi? Saya rasa sama sahaja,” soal Afdal dengan dahi berkerut.

“Jika kamu membasuh dengan cara kedua, kerja kamu semuanya dilakukan oleh mesin. Daripada membasuh, membilas dan mengering.”

“Menyidai sahaja mesin itu tidak dapat lakukan,” Uzma menyampuk sambil tertawa kecil.

Afdal tersengih. “Menyidai pun hendak suruh mesin, melampau!”

“Saya minta maaf puan. Saya memang tidak tahu peraturan di rumah ini. Mujur puan beritahu pada saya hari ini. Jika tidak, esok lusa pasti saya lakukan kesilapan.” Uzma menarik nafas lega.

“Itu bukan peraturan di rumah saya. Tetapi itu ilmu fiqh.”

“Apa itu?”

Puan Khairuna tersenyum nipis. Mee goreng sudahpun dimasukkan ke dalam mangkuk besar. “Ilmu Fiqh itu adalah hukum-hakam berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Cara-cara beribadat. Cara-cara bersuci. Pendek kata, apa sahaja yang berkaitan dengan ibadat dan kehidupan kita.”

Uzma terangguk-angguk sambil menatang dulang berisi cawan dan teko minuman. Dulang itu dibawa ke bilik makan. Cawan dan piring disusun dengan rapi di atas meja.




Cerita ini diambil daripada sebuah berjudul "Ada yang Menyayangimu". Buku ini memuatkan 21 buah cerita berkenaan ilmu fiqh yang disampaikan secara santai melalui jalan cerita yang menghiburkan. Setiap cerita menggunakan beberapa watak yang signifikan bagi setiap tema cerita.

Untuk butiran lanjut, anda boleh melawat ke laman blog
Zalisa Maz


**Saya pun berhajat ingin mendapatkan buku ini, alhamdulillah saya sudah menempahnya secara online.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak