Pemuda Muslim yang Bijaksana

Berkurun lama dahulu, semasa zaman kegemilangan Tabi’in (generasi Muslim selepas zaman sahabat), berdirilah sebuah bandar Islam yang gemilang bernama Baghdad. Ia merupakan pusat pemerintahan Empayar Islam, dan ia juga merupakan pusat tumpuan kepada ilmu-ilmu agama kerana ramainya cendekiawan yang tinggal di sana.

Pada suatu hari, pemerintah kerajaan Rom telah menghantar seorang utusan ke Baghdad. Mereka telah bersepakat untuk memberikan tiga soalan kepada orang-orang Muslim, sebagai tanda cabaran. Sebaik sahaja tiba di bandar itu, dia menyatakan hasratnya kepada sang khalifah bernama Abdul Malik bin Marwan, untuk mencabar orang-orang Muslim dengan tiga soalan tadi.

Maka, khalifah pun segera menyeru mengumpulkan kesemua cerdik-pandai di tempat baginda. Maka pada hari yang telah ditetapkan, berkumpul lah semua cendekiawan dan tetamu-tetamu dari kalangan rakyat setempat untuk mendengar pertanyaan itu. Utusan Rom itu kemudian naik ke atas minbar yang tinggi, seraya berkata,
“Aku telah datang kepada kalian dengan tiga soalan. Jika kalian berjaya menjawabnya, aku akan tinggalkan kepada kalian sejumlah harta dan kekayaan sebagai ganjaran yang telah aku bawa dari Raja Rom sendiri”

Maka dia pon menyuarakan ketiga-tiga soalan tersebut,

“Apakah benda yang wujud sebelum Allah? Ke arah manakah Allah itu menghadap sekarang? Apakah yang sedang Allah lakukan sekarang?” kata pemuda Rom tadi.

Sebaik berakhir ucapannya, keadaan menjadi senyap sunyi. Sekalian hadirin yang hadir menjadi terdiam dan bingung.“Ini soalan gila !”, “Bolehkah cerdik pandai kita menjawab??”, sayup-sayup kedengaran dari setiap penjuru.

Di tengah-tengah lautan para tetamu yang kerunsingan itu, berdirilah seorang lelaki sambil menatap wajah anaknya penuh terkejut.

“Wahai bapaku! Ketahuilah bahawa aku akan menjawab pertanyaan lelaki Rom itu dan membuat dia terdiam pula!” berkata anak tadi.

Maka, anak itu pun meminta izin daripada khalifah untuk menjawab dan turut dipersetujui. Risaulah bapanya tatkala melihat anaknya sedemikian, lalu dia beristighfar dan berdoa mengharapkan belas dan rahmat-Nya.

Lelaki Rom tadi turut terkejut, tetapi akhirnya menerima anak kecil itu sebagai saingannya, lalu dia mengulangi soalannya,

“Apakah yang ada sebelum Allah?’

“Adakah anda tahu mengira?” tanya anak tadi.

“Sudah tentu, ya,” jawab lelaki Rom.

“Kalau begitu, engkau kira kebawah bermula dari sepuluh!”

Maka orang Rom itu mula mengira, “Sepuluh, sembilan, lapan, …” sehingga dia mencecah “satu”, kemudian dia berhenti.

“Apakah yang kamu dapati selepas itu?” tanya anak tadi.

“Tiada apa selepas itu, kecuali kosong,”

“Maka begitu, kalau sudah secara terang-terangan tiada sesuatu selepas ‘satu’, bagaimana pula kamu boleh mengatakan ada sesuatu sebelum “Yang Satu” yang Maha Benar, Maha Kekal, Tiada Awal dan Tiada Akhir baginya?”

Lelaki itu terkejut daripada jawapan langsung anak tadi, dan dia tidak dapat pula menyangkalnya. Maka dia bertanya lagi, “Kalau begitu, beritahu aku, di manakan Allah itu menghadap sekarang?”

“Bawakan kepadaku sebatang lilin, dan nyalakanlah,” kata anak tadi, “dan khabarkan aku, ke arah mana api itu menghadap.”

“Mana mungkin aku tahu, kerana api itu hanya cahaya, ia merebak ke setiap arah. Utara, Selatan, Timur, Barat, ia tidak menghadap ke satu arah sahaja!” jawab lelaki tadi terpinga-pinga.

“Jadi, jika api yang kau dapat lihat ini pun engkau tidak dapat tentukan ke arah mana ia menghadap, apa yang kau fikirkan dengan Nur As-Samawati wal Ard (Cahaya kepada kerajaan langit dan bumi) yang engkau tidak nampak? Cahaya itu adalah kuasa Allah, dan Allah menghadap ke setiap arah mengikut kehendaknya!”

Lelaki Rom itu terkaku dan merasa diperbodohkan oleh anak kecil itu. Dia tidak menyangka pertanyaannya akan dijawab oleh seorang anak kecil, yang dia sendiri tidak dapat menyangkal dan berdebat lanjut terhadap jawapannya. Dia merasa terdesak, dan akhirnya bertekad untuk mencuba nasib dengan persoalan yang terakhir.

Tetapi sebelum sempat dia berbuat demikian, anak kecil itu lantas berucap,

“Tunggu dahulu! Kamu lah orang yang sedang memberi pertanyaan, dan aku pula lebih penting menjawab persoalan kamu! Adalah lebih adil jika kamu yang turun ke bawah, dan aku pula berdiri di atas sana, supaya jawapan ini akan didengari dengan lebih terang, lebih terang dari persoalanmu!”

Lelaki Rom itu turut bersetuju, dan dia turun berdiri di tempat anak tadi, dan memberi minbar itu kepada anak tadi. Kemudian, dia mengajukan soalannya yang terakhir,

“Beritahu aku, apakah yang sedang diperlakukan Allah sekarang?”

“Ketahuilah kamu, Allah telah mendapati seorang penipu dan penghina Islam sedang berdiri di atas ini. Maka, Allah telah menjatuhkan dan merendahkan martabatnya. Dan kepada orang yang beriman dan bersaksi dengan keesaan-Nya, Dia menaikkan darjatnya ke tempat yang lebih tinggi, dan tertegaklah kebenaran! Seperti firman-Nya,”

Maksudnya : Semua yang ada di langit dan bumi selalu meminta kepadanya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan.
(Surah Ar-Rahman : Ayat 29)

Lelaki Rom itu terdiam dan akhirnya pulang semula ke negerinya dalam kekalahan. Sepanjang masa selepas itu, anak muda tadi telah hidup dan membesar sebagai seorang cendekiawan Islam yang tersohor. Dia telah dianugerahi Allah dengan kebijaksanaan dan pengetahuan yang agama yang luas. Dia kemudiannya dikenali sebagai Abu Hanifah r.a dan dikenali hari ini sebagai salah seorang Imam Ulung, pengasas Mazhab Hanafi.

Sumber diadaptasi ke dalam Bahasa Melayu daripada
Manaqib Abi Hanifah” karangan Imam Muwaffaq Ibn Ahman Al-Makki (wafat 568H)
Darul Kitab Al-Arabiy, Beirut, 1981/1401H.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak