Mukadimah - Hijrah Dari Papan Tulis
Teringat semasa zaman persekolahan rendah dulu, sewaktu belajar di sekolah kebangsaan, seronok bersama rakan-rakan dari pelbagai tempat dan suku. Waktu di kelas merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu, kerana semasa di dalam kelaslah kami dapat berjumpa bersama rakan-rakan, berkongsi-kongsi cerita, usik mengusik, tertawa bersama dan saling 'show-off' tentang kehebatan kepunyaan masing-masing.
Ada yang baru beli kotak pensil baru, ada yang baru dapat beg baru. Ada yang seronok lawan pemadam, Tak kurang juga yang sibuk menyiapkan kerja sekolah, kerana tak sempat buat di rumah semalam. Turut ada yang masih mengantuk dan mamai kerana terpaksa bangun dan bersiap awal pagi, walhal semalam sengaja dia tidur lewat.
Tatkala semuanya sibuk dengan urusan masing-masing, semua tak sedar yang cikgu sudah pun masuk, maka berteraburlah semuanya kembali ke tempat duduk, lalu ketua kelas pun bangun untuk mengucapkan salam, dan disahut pula oleh kawan-kawan di belakang, tandanya bermulalah agenda pembelajaran pada pagi itu.
Selepas semuanya duduk, cikgu mengeluarkan buku dan sebatang kapur, dan mula menulis nota-nota di atas papan hijau. Setiap yang dicatit, akan disalin semula oleh semua muridnya tanpa banyak tanya dan persoalan. Hanya menurut dan taat kepada tulisan yang terhasil daripada goresan "Sang Kapur" dan pemuka papan hijau. Masing-masing berlumba untuk menghabiskan dahulu menyalin setiap isi dari pemuka papan hijau tersebut. Siapa cepat, dia menang, agaknya begitulah kita sewaktu di kelas dahulu.
Bukankah begitu biasa yang kita lakukan dahulu? Sebalik mengimbau pengalaman sewaktu belajar dahulu, kita dapati betapa hebatnya pengaruh papan hijau kepada kita. Ke muka papan itulah yang sering kita tatapi, sejak dahulu berkurun-kurun lamanya, bahkan turut dirasai oleh ibu, ayah, dan nenek moyang
Jangan diperkecil papan hijau itu. Bukankah kebanyakan kita mengenal huruf dan abjad daripada tulisan di atas papan itu? Sehingga kini masih menjadi tanda tanya, mengapa tatkala guru mula menulis di papan hijau, semua mata akan mula tertumpu kepadanya, lalu masing-masing sibuk mencatit apa yang tertulis di atasnya? Hebat bukan si papan hijau itu?
Sekarang, boleh dikatakan kita berada di tengah-tengah kemajuan dan renovasi. Si papan hijau pun makin lama, makin dilupakan. Lalu, apa yang terjadi kepada si papan hijau tadi?
Si papan hijau dianggap tidak lagi relevan pada masa kini. Habuk kapur yang berserak kerananya, putih-putih debu yang bertombok di kemeja dan tangan-tangan penulisnya, "Bukankah ia menyusahkan?" fikir kebanyakan daripada pencipta dan pemaju barangan dunia.
Maka, banyaklah pula timbul idea dan "cetak biru" untuk menghasilkan dan menggantikan papan hijau. Muncul papan putih, yang dipercayai lebih efisyen penggunaannya di mata semua, kerana mudah dipadam, ditulis dan tidak meninggalkan sisa dan debu bertompokan. Semakin lama, semakin banyak pula rekaan dan ciptaan yang hebat menggantikan papan hijau, bahkan pembelajaran kini berjalan tanpa perlu guru berdiri dari tempat duduknya, cukup sekadar mengetik beberapa kali di papan kekunci, dan menayangkannya di tatapan skrin.
Bukan bermaksud sinis, dan menyalahkan. Namun dari sini didapati, bagaimana manusia sejak dari dahulu sudah mula memperbaiki keadaan dan taraf hidup mereka. Pastinya, setiap hari, ada saja pemikiran dari segolongan orang untuk menghasilkan sesuatu supaya setiap yang dikerjakan lebih selesa dan segera. Selalu berpandangan ke hadapan merupakan suatu yang bagus untuk meluaskan wawasan diri, namun sekali-sekala apabila memandang ke belakang, tanpa disedari banyak juga pengajaran dan pedoman yang dapat kita pelajari dan teliti.
Bagaimana semasa di persekolahan rendah dahulu, setiap daripada kita tekun dan berlumba-lumba mencatit setiap yang ditulis di atas papan hijau, tanpa mempersoalkan dan mengalihkan tumpuan ke arah lain. Begitulah persoalan yang harus kita timbulkan, kenapa sekarang, kita tidak lagi boleh berlumba-lumba untuk mempelajari dan mencari ilmu-ilmu di atas 'papan dunia' ini? Kenapa kita tidak lagi boleh merasa ghairah melihat segala isi yang disampaikan oleh guru dan pensyarah, sama seperti semasa kita melihat guru menulis di papan hijau dan berlumba menyalinnya dahulu?
Hijrah kepada sesuatu yang lebih baik. Samalah juga dengan kisah papan hijau. Kita melihat bagaimana papan hijau telah diganti kepada papan putih, yang kemudiannya timbul pula rekaan dan teknologi baru, bertujuan untuk membantu memudahkan pembelajaran manusia. Bukan bermaksud apabila kita meninggalkan papan hijau yang lama, kita telah mensisihkan ia. Tetapi, ia bermaksud hijrah pemikiran, bagaimana kita menyusun strategi kehidupan kita pada masa sekarang dan kehadapan. Sedangkan papan hijau pun boleh berubah, inikan pula kita yang hidup.
Terakhir, kehebatan sekarang, pastinya diawali dengan kemunduran yang dahulu. Setiap yang telah berjaya pada masa kini, pasti pernah merasai pengalaman belajar di atas papan hijau. Jangan kita lupakan setiap pengalaman yang pernah kita lalui. Jangan pula kita memandang rendah terhadap semua yang telah ditempuh. Jangan sesekali menganggap kita lebih hebat dari guru yang pernah mengajar kita, jauh sekali berfikir hasil teori dan kaedah lama itu sudah lapuk dan tidak relevan lagi. Jika manusia dahulu tidak belajar dari papan tulis hijau, bagaimana akan timbul teknologi dan kesenangan yang sedia ada sekarang?
Semoga setiap yang terlibat dengan blog ini mendapat manfaat dan ganjaran.
**Sebagai makluman, blog ini merupakan hasil kemaskini daripada blog pertama penulis yang telah ditutup kerana faktor tertentu. Kebanyakan bahan yang digunakan dalah diambil daripada blog pertama dan diserap semula ke dalam ruangan ini, untuk tatapan bersama. Semoga semuanya mendapat manfaat. Semoga Allah memberi upaya dan idea yang tidak putus dalam memeriahkan laman blog ini. - MuhammadNadzri
Ulasan
Catat Ulasan
Kereta rosak panggil pomen,
Sudah baca harap komen. XD