Oleh : MuhammadNadzri Peristiwa hari Selasa bertarikh 10 Disember 2013, cuaca pada hari ini memang sangat sejuk. Maklumlah, hujan sejak dari pagi, kemudian melarat sampai ke petang, angkaranya habis banjir kebanyakan kawasan di Medan, termasuklah di dalam kampus kolej kami. Habis kuliah pada jam 2.30 petang, maka masing-masing sanggup meredah jalan utama yang banjir, dek kerana tidak tahan lagi menunggu lama, sudah berjam-jam kami terperap menunggu hujan reda, namun kecewa. Mujur pada hari ini, aku mengambil keputusan untuk pulang awal ke rumah sewa, meninggalkan kawan-kawan lain di kampus. Aku sempat pulang sewaktu hujan sedikit reda, jadi aku tidaklah terlalu basah, tapi terkena juga mengharungi banjir yang cetek. Boleh dikatakan semasa itu air baru hendak naik. Hampir satu jam juga aku di dalam angkot, kerana jalannya yang begitu sesak dengan kenderaan keluar masuk. Sampai di rumah, hujan mulai turun dengan lebat semula.