10 Kes Sembunyi Mayat Dalam Tong dan Disimen Sejak 1998


KUALA LUMPUR: Penemuan mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, mendiang Anthony Kevin Morais dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya pagi ini, sememangnya amat mengejutkan.

Namun modus operandi menyembunyikan mayat dengan menyumbatnya dalam tong dram dan kemudian disimen, bukan baru kerana sudah berlaku beberapa kali di negara ini.



Rekod di Bernama Library and Infolink Service (BLIS) menunjukkan sejak 1998 sehingga penemuan terbaharu hari ini, sebanyak 10 kes bunuh menggunakan modus operandi sama telah berlaku.

Berikut adalah rekod kes bunuh yang lain membabitkan mayat mangsa disembunyikan dalam tong dram bersimen sejak 1998:

* 11 Feb 2015, satu rangka manusia dipercayai mayat lelaki ditemukan dalam tong dram biru yang telah disimen di tepi kolam di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Selangor dan dipercayai telah dibunuh sejak 10 minggu sebelum itu.

* 21 Mac 2009, polis menemui mayat lelaki yang dipercayai mangsa bunuh dalam tong dram berkonkrit di tepi jalan di Kampung Parit Punggur Darat, Muar, Johor.

* 29 Julai 2006, mayat tanpa identiti dan jantina yang tidak dapat dikenal pasti dipercayai mangsa bunuh, ditemui dalam tong dram yang berisi simen di sebuah tapak pembinaan di Taman Putra Perdana, Sepang, Selangor.

* 16 Nov 2005, seorang lelaki yang dipercayai warga Pakistan dijumpai mati dibunuh dengan mayatnya disumbat ke dalam tong berisi air, disimen dan ditanam di halaman rumah sewanya di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan.

* 25 Mac 2005, mayat lelaki warga Indonesia ditemui di dalam tong dram yang disimen pada bahagian atas dan bawah di kawasan belukar berhampiran Taman Nilai Perdana, Seremban, Negeri Sembilan.

* 9 Jan 2004, satu mayat yang sudah reput ditemui ditimbus dengan simen dalam tong besi di tepi Sungai Bonus di tapak projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mukim Air Panas, Setapak.

* 11 April 2000, mayat lelaki berusia lingkungan 40 tahun ditemui bersalut simen dalam tong dram di tempat pembuangan sampah di Kampung Hicom, Seksyen 28, Shah Alam.

* 29 Jun 2012, satu rangka manusia yang dipercayai dibunuh setahun lalu, ditemui di dalam tong dram bersimen oleh seorang pengendali jengkaut yang sedang membersihkan kawasan hutan di Kampung Baru Balakong, Kajang

* 9 April 1998, mayat warga Bangladesh dijumpai dalam tong dram yang disimen permukaannya di tebing sungai di Batu 9 Selayang, Kuala Lumpur.
Mayat Morais, ditemui kira-kira pukul pukul 6 pagi ini di taman perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah berhampiran Sungai Kelang, 13 hari selepas beliau dilaporkan hilang pada Jumaat, 4 Sept.

Polis telah menyifatkan kes pembunuhan Morais bermotifkan dendam dan berkait rapat dengan satu kes bicara yang dikendalikan Morais di Mahkamah Shah Alam, yang melibatkan kes rasuah seorang doktor berusia 52 tahun yang berkhidmat di sebuah hospital tentera di Wangsa Maju.

_______________
Sumber;
Astro Awani

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak

5 Bilik Hotel yang Paling Mahal di Malaysia