10 Fakta Mengenai Pasukan Bola Sepak Palestin

Palestin, seperti negara-negara yang lain juga memiliki rakyat yang gilakan bolasepak. Ketika mereka menjuarai Piala Cabaran AFC di Maldives pada 2014, berpuluh ribu penyokong Palestin meraikan kejayaan tersebut di Ramallah. Berikut merupakan 10 perkara menarik mengenai pasukan bolasepak Palestin:- 1) Kebanyakan pemain-pemain mereka berasal dari Tebing Barat dan bermain bolasepak sepenuh masa. Pendapatan yang diperoleh selalunya akan dibuat sebagai modal untuk perniagaan.

2) Palestin juga memiliki beberapa pemain luar yang mempunyai keturunan Palestin. Antaranya Mahmoud Eid yang berasal dari Sweden, Matias Jadue dari Chile dan Jaka Ihbeisheh dari Slovenia. Mahmoud Eid, bermain untuk pasukan Nyköpings BIS di Sweden. 3) Jaka Ihbeisheh berpisah dengan bapanya pada usia 7 tahun dan mereka hanya bertemu semula 20 tahun selepas itu menerusi facebook. Perjalanan bertemu bapanya agak mencabar. Beliau terbang ke Jordan, melalui jalan yang berliku untuk ke Ramallah, ditahan pihak Israel selama 5 jam sebelum akhirnya dapat bertemu bapanya. 4) Skuad kali ini membariskan hampir 15 orang pemain baru selain mengekalkan beberapa pemain yang beraksi dalam Piala Asia 2015 di Australia, Januari lalu. 5) Ada pemain yang terpaksa digugurkan ekoran keengganan Israel mengeluarkan visa perjalanan keluar. 6) Ada juga pemain yang sengaja ditahan pihak berkuasa Israel dengan alasan mempunyai kaitan dengan pihak Hamas. Hakikatnya, pemain-pemain bolasepak di Palestin berdepan cabaran yang sukar apabila kediaman mereka digeledah dan dimusnahkan, stadium di bom malah ada juga terkorban akibat serangan ganas rejim Zionis. 7) Sebelum saingan Piala Asia di Australia, pasukan Palestin telah mengadakan pertemuan persahabatan bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang membuat latihan pra-musim di sana. Keputusan menyaksikan Palestin menang 4-1. Mereka juga pernah bertemu pasukan Felda United di Dubai dengan keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan pada perlawanan tersebut. 8) Palestin pernah diundi bersama skuad Malaysia sebelum ini iaitu pada kelayakan Piala Dunia 2002. Pertemuan pertama menyaksikan Palestin menang 1-0 sementara aksi kedua berpihak buat skuad negara yang menang tipis 4-3 hasil 2 jaringan dari Akmal Rizal dan satu masing masing dari Irwan Fadli Idrus serta Hairudin Omar. 9) Palestin hanya tewas tipis 2-3 di saat saat akhir kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia 2018 minggu lalu. 10) Pemain-pemain Palestin cukup menghargai sokongan dan bantuan rakyat Malaysia semasa berlaku konflik di negara mereka. Bagaimanapun, pada 90 minit aksi di atas padang nanti, mereka tidak akan membiarkan sebarang sentimen dan mahu fokus mengutip 3 mata penuh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 Masjid Paling Cantik di Perak